Senin, Oktober 10

Kesal dan gusar yang menghimpit.

Sentiasa akan ada masa dalam hidup kita bila mana kita rasa keputusan yang kita buat dulu untuk hidup kita hari ini merupakan satu kesilapan dan secara perlahan-lahan rasa menyesal mula menyusup dan merosakkan pemikiran kita. Lalu kita mula mempersoalkan pilihan kita dulu. Kenapa kita pilih jalan itu? Kenapa kita pilih untuk jadi sebegitu? Kenapa tak pilih untuk jadi sebegini? 

Secara jujurnya, aku juga penat untuk terus berteka-teki tentang masa depan, tentang keputusan yang pernah dibuat dulu, tentang keputusan yang sepatutnya aku buat dulu supaya aku tidak menyesal pada hari ini, dan tentang tindakan-tindakan yang patut aku buat hari ini supaya masa depan tidak lagi mengecewakan aku sepertimana sekarang. Supaya pada masa depan, aku tidak lagi akan bertanya-tanya pada diri sendiri, tentang keputusan yang aku buat pada hari ini yang pastinya akan memberi kesan pada masa depan.

Masa depan boleh menjadi satu yang menakutkan dan juga pada masa yang sama boleh menjadi sesuatu yang indah. Semuanya bergantung pada keputusan kita pada hari ini. Moga aku tidak lagi tersilap dalam membuat pilihan dan keputusan. Moga Tuhan mengampunkan segala khilaf dan salah aku dan merahmati masa depan aku. 

Sungguh aku lelah dengan semua ini.